“Saya Tak Guna Duit Ayah Atau Sesiapa!” – Zaki Yamani Dah Kerja Keras Sejak Umur 13 Tahun, Bayar Komitmen Sendiri

Penyanyi Zaki Yamani menganggap pandangan netizen yang mempersoalkan kemampuan kewangannya bukan sesuatu yang perlu diambil hati. Zaki atau nama sebenarnya Ahmad Zaki Yamani Jamal Ubaidillah, 20, berkata, tidak semua perkara perlu dibuktikan kepada orang luar.
Dia menegaskan, dia sudah bekerja keras sejak usia 13 tahun bagi menampung komitmen sendiri tanpa bergantung kepada wang bapanya, penyanyi Datuk Jamal Abdillah, atau individu lain.
Zaki berkongsi pandangannya bagi memberi respons terhadap seorang netizen yang meninggalkan komen meminta rakan baiknya, penyanyi Azeva, mencari teman lelaki kaya ketika mereka sedang mengadakan sesi siaran langsung di media sosial.
Kerja Keras Sejak Usia 13 Tahun
Kata Zaki, mereka yang mengenalinya sejak awal perjalanan kerjaya lebih memahami kesungguhannya mencari pendapatan sendiri. "Bagi saya, kita tidak bolehlah merendahkan individu lain. Siapa yang menyokong saya dari awal mereka tahu bagaimana saya kuat bekerja."
"Saya tak guna duit ayah mahupun duit sesiapa. Saya bekerja untuk membayar komitmen sendiri. Hanya yang rapat saja tahu," katanya kepada mStar.
Tidak Kisah Tanggapan Orang Luar
Zaki memberitahu dia tidak kisah dengan tanggapan orang luar kerana mereka bukan pihak yang menanggung perbelanjaan dan komitmen hariannya. "Saya tak kisah orang nak cakap apa, bukan mereka (netizen) yang bayar rumah, kereta dan bil-bil lain," ujarnya.
Penyanyi lagu Akur itu turut mengakui sudah terbiasa bekerja sejak usia muda dan menguruskan kewangan sendiri tanpa terlalu bergantung kepada orang lain. "Saya pun sudah bekerja daripada usia 13 tahun sampailah nak masuk umur 21 tahun. Mungkin mereka jarang nampak golongan awal usia ini bekerja sendiri untuk membayar komitmen," ujarnya.
Bukan Boros, Utamakan Simpanan
Zaki menegaskan dia bukan seorang yang boros, sebaliknya sentiasa mengutamakan simpanan dan perancangan kewangan demi masa depan. Menurutnya, nasihat daripada ibu dan pengajaran daripada bapanya menjadi panduan untuk menguruskan pendapatan dengan lebih bijak.
"Ramai yang mungkin ingat saya tiada simpanan wang tetapi sebenarnya saya seorang yang memang memikirkan tentang masa depan. Ibu saya antara individu yang selalu ingatkan untuk menyimpan wang," katanya.
"Saya nak beli rumah, buat bisnes. Sebagai anak muda tak bolehlah boros sangat. Kalau nak berbelanja, 70 peratus simpanan, guna 30 peratus saja daripada gaji. Itu prinsip saya," jelasnya.
Pandangan Tentang Azeva
Zaki turut berkongsi pandangan mengenai rakan baiknya, Azeva, yang disifatkan sebagai seorang wanita berdisiplin serta bijak menjana pendapatan menerusi perniagaan.
"Saya dan Azeva memang sangat rapat dan kami tahu serba sedikit tentang diri masing-masing. Tapi kami tetap berkawan baik. Azeva seorang berdisiplin, bijak buat duit dan dia pandai berniaga," katanya.
Kata Zaki, itulah yang membuatkan dia suka berkawan dengan Azeva. "Bila saya berkawan dengan seseorang, saya akan melihat apa dia akan buat untuk masa depan."
