Siti Nurhaliza Kongsi Perkembangan Lebam Selepas Terjatuh Ketika Latihan

Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, berkongsi perkembangan terkini tentang kecederaan ringan yang dialaminya ketika menjalani latihan Konsert Tradisional Gema Bumantara.
Melalui Instagram Stories, Siti memaklumkan kesan lebam pada wajahnya masih belum hilang sepenuhnya, namun dia bersyukur kerana tidak lagi mengalami kesakitan, kecuali rasa bengkak di bahagian tulang pipi.
Katanya, "Tinggal nak hilangkan lebam sahaja. Sakit tak ada, kecuali bahagian tulang pipi masih rasa bengkak. Alhamdulillah, semuanya adalah tanda kasih sayang Allah SWT kepada saya."
Misteri lebam di bawah mata serta kesan luka kecil pada wajah penyanyi lagu 'Kesuma' itu terjawab menerusi video montaj (VT) yang ditayangkan ketika Konsert Tradisional Gema Bumantara pada Sabtu.
Dalam video itu, Siti dilihat terjatuh ketika menjalani latihan bagi konsert yang berlangsung di TM Stadium Nasional, Bukit Jalil. Insiden berlaku ketika dia sedang berlatih melakukan aksi melompat menggunakan tali sebelum kakinya tersadung, menyebabkan dia terjatuh tersembam ke lantai.
Kejadian itu mengakibatkan kecederaan ringan, termasuk luka kecil di bahagian tepi dan bawah mata serta lebam pada pipi kanan.
Semoga kesan lebam itu cepat hilang sepenuhnya.
