MAD MalaysiaMuzik, selebriti dan budaya pop
Hiburan

Nora Danish ‘Naik Angin’ Kenyataan Disunting Kaitkan Pemandu Lori – “Itu Fitnah Sama Sekali”

via Instagram @noradanish._

Pelakon Nora Danish tampil menjelaskan isu kenyataannya mengenai pemandu lori yang tular di media sosial selepas pihak tidak bertanggungjawab menyunting foto seolah-olah dia pernah mengeluarkan kenyataan tersebut.

Sebuah foto suntingan tersebar dengan dakwaan bahawa Nora mahu bakal suami yang beriman dan tidak kisah jika lelaki itu seorang pemandu lori. Foto tersebut bukan artikel yang diterbitkan oleh mana-mana organisasi media, sebaliknya suntingan yang dimuat naik oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Menerusi hantaran di Threads, Nora menegaskan bahawa dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan mana-mana pekerjaan. "For those yg meng edit my statement tentang pemandu lori mmg tak cool la. I have nothing against mana mana pekerjaan," tulisnya. Dia kesal kerana kenyataannya diubah sehingga membawa maksud yang berbeza.

Nora turut menegaskan bahawa perkara tersebut merupakan fitnah, selain mengingatkan orang ramai tentang bahaya penyebaran maklumat palsu, lebih-lebih lagi ketika teknologi kecerdasan buatan (AI) semakin mudah digunakan.

Hantaran Nora mendapat perhatian netizen yang bersimpati dengan situasi tersebut. Seorang netizen menulis: "Tak takut dosa ke fitnah orang? Populariti tu satu hal, tapi jangan sampai sanggup ubah kenyataan orang dan jatuhkan maruah orang tu. Be strong Kak Nora."

Dalam era media sosial, foto suntingan yang kelihatan seperti kenyataan sebenar boleh mengelirukan orang ramai jika dikongsi tanpa menyemak sumber asal. Sebelum mempercayai sesuatu yang tular, semak dahulu kesahihannya.

Dengan Maklumat Dari Sumber Awam, Wikipedia, YouTube, Instagram Dan TikTok.