Lana Nodin Dah Cukup 20 Tahun Jadi Antagonis? Kini Mahu Watak 'Padu'!

Lebih dua dekad dalam dunia hiburan, pelakon Lana Nodin berusaha keluar daripada kepompong watak antagonis dan penyondol demi membuktikan kemampuan sebenarnya.
Mengakui dirinya kini tidak lagi ghairah mengejar populariti, Lana berkata fasa kerjaya sekarang bukan lagi tentang seberapa kerap wajahnya muncul di kaca televisyen, tetapi sejauh mana dia mampu menghidupkan watak yang meninggalkan kesan.
Watak berat menuntut penghayatan
Bagi Lana, watak berat bukan sekadar menuntut pelakon menghafal dialog atau mengikut arahan pengarah. Ia memerlukan penghayatan emosi yang mendalam agar penderitaan watak dapat dirasai khalayak.
“Saya tidak kisah kalau dilupakan kerana dalam fasa ini, saya bukan lagi kejar populariti tetapi kumpul rezeki. Saya berlakon kerana minat. Kalau ada tawaran dan watak itu sesuai, saya takkan sia-siakan,” katanya.
Pengalaman membawakan watak pesakit HIV dalam sebuah naskhah drama baru-baru ini antara peluang yang membuka ruang untuk memperlihatkan kemampuan sebenarnya.
“Sudah 20 tahun saya berlakon, kalau boleh sekarang ini berilah saya watak yang berlainan,” katanya ketika ditemui pada acara Anugerah Melodi Terhangat, baru-baru ini.
Tawaran masih ada, tetapi lebih terpilih
Lana sedar kehidupannya tidak lagi berputar sepenuhnya tentang kerjaya seperti ketika mula-mula menapak dalam industri seni. Masa dan tenaganya kini turut dituntut tanggungjawab sebagai isteri dan ibu, lebih-lebih lagi apabila keluarganya sedang melalui perubahan rutin harian.
Katanya, mungkin kerana semakin jarang muncul di kaca televisyen, ada peminat yang menyangka dia bersara awal.
“Saya tidak terus keluar daripada dunia lakonan. Ada sahaja tawaran yang saya terima, malah beberapa drama juga sedang dipertimbangkan.
“Tetapi, saya tidak boleh terlalu aktif. Bukan enggan bekerja, tetapi saya perlu memilih tawaran yang sesuai dengan masa dan watak yang kena dengan penampilan bertudung,” ujarnya.
Suami sibuk, jadual keluarga berubah
Keadaan itu berbeza berbanding sebelum ini. Suaminya, Mohd. Daud McKienzie, dahulu mempunyai lebih banyak masa di rumah untuk menjaga dua anak mereka ketika dia menjalani penggambaran.
Selepas Mohd. Daud dilantik sebagai Pengarah Pasukan Bola Tampar Malaysia, jadual keluarga turut berubah kerana beliau semakin sibuk dengan tanggungjawab barunya.
“Saya lebih banyak menghabiskan waktu dengan keluarga dan sekarang menguruskan perpindahan ke rumah baharu. Selebihnya menguruskan anak-anak sekolah, terutama jika tiada kerja penggambaran atau perkara lain berkaitan kerja.
“Suami sedikit sibuk selepas dilantik menjadi Pengarah Pasukan Bola Tampar Malaysia. Sebelum ini dia banyak masa di rumah, sementara saya bekerja, namun sekarang keadaan bertukar,” ujarnya.
Rancang pulang ke Amerika Syarikat
Lana berkata, dia dan suami merancang membawa anak-anak pulang ke Amerika Syarikat (AS) untuk menziarahi bapa mentuanya. Sudah dua tahun mereka tidak pulang ke ‘kampung’ suami, sekali gus menjadikan kunjungan itu penting buat keluarga mereka.
“Bapa mentua saya pun sudah berusia 84 tahun, ini peluang untuk kami meluangkan masa bersama keluarga tersayang.
“Cuma saya dan suami masih menyusun jadual kerana anak-anak sekarang bersekolah selain banyak aktiviti sampingan,” katanya.
Perkahwinannya dengan Mohd. Daud pada tahun 2015 dikurniakan anak, Gia Quinn McKienzie, 10, dan William McKienzie, tujuh tahun.
