MAD MalaysiaMuzik, selebriti dan budaya pop
Hiburan

‘Harap ada rezeki, saya teringin berlakon filem aksi’

via Instagram @redzarosli

Selepas sekian lama mengukuhkan nama menerusi drama televisyen, pelakon Redza Rosli menyimpan impian untuk membawa kerjayanya ke layar perak bagi membuktikan kemampuan lakonannya dalam naskhah yang lebih mencabar.

Biarpun belum pernah membintangi filem, pelakon berusia 34 tahun itu tidak mengetepikan hasrat untuk mencuba sesuatu yang berbeza, terutamanya dalam genre aksi. Redza mengakui jadual kerja yang padat menjadi antara kekangan untuk merealisasikan impiannya itu.

“Berlakon filem sememangnya antara matlamat saya. Setakat ini, saya masih belum berpeluang, mungkin disebabkan jadual kerja yang padat sehingga tidak dapat menerima tawaran berlakon filem.

“Saya berharap suatu hari nanti, jika ada rezeki untuk menembusi layar perak, insya-Allah saya akan memberikan yang terbaik. Mungkin ada peluang untuk produksi memanggil saya menghadiri sesi uji bakat filem atau sebagainya. Saya juga teringin kerana melihat rakan-rakan lain sudah berpeluang berlakon filem,” katanya ketika ditemui pada penggambaran telefilem TV3, Gerimis Rindu, baru-baru ini.

Mengulas genre yang ingin diterokai, Redza berkata dia tertarik untuk membintangi filem aksi bagi memberikan kelainan berbanding watak yang sering dibawakannya dalam drama televisyen.

“Genre aksi antara yang saya inginkan. Saya sudah membuktikan kemampuan menerusi drama percintaan, konflik dan sebagainya. Jadi, jika beralih ke filem, saya mahu membawa sesuatu yang berbeza. Penonton tentunya mahu melihat kelainan daripada apa yang biasa dipertontonkan. Tidak mungkin saya mahu melakukan perkara yang sama,” katanya.

Bagaimanapun, Redza tidak menafikan genre percintaan masih sukar diketepikan. Menurutnya, kisah berkaitan percintaan, kecurangan dan pergolakan hubungan masih mendapat tempat dalam kalangan penonton.

“Saya tidak boleh menolak begitu sahaja tawaran berlakon drama sebegitu kerana saya tahu apa yang penonton mahukan, termasuk cerita mengenai konflik cinta, kecurangan dan sebagainya,” jelasnya.

Dengan Maklumat Dari Sumber Awam, Wikipedia, YouTube, Instagram Dan TikTok.