Cahaya Misteri Muncul dalam Filem Liyana Jasmay, Penonton Dakwa Nampak 'Sesuatu'!

Pelakon dan pengarah, Liyana Jasmay, meremang bulu roma apabila menerima mesej peribadi (DM) daripada seorang penonton filem "Pemuja Syaitan" yang mendakwa terlihat sesuatu yang aneh di pawagam.
Menurut Liyana, penonton tu kata dia nampak cahaya keluar dari dada watak salah seorang pelakon dalam satu babak. Mesej itu diterima ketika Liyana dalam perjalanan pulang selepas membuat kejutan kepada penonton di GSC Mid Valley pada Jumaat.
"Saya terima DM daripada salah seorang penonton Pemuja Syaitan pada pukul 11.50 malam. Dia beritahu nampak cahaya keluar dari dada watak (salah seorang pelakon) dalam satu babak sebelum adegan dirasuk," kongsi Liyana di Threads. "Dia tanya sama ada perkara itu disengajakan atau tidak. Saya terkedu sekejap. Saya fikir dan tertanya-tanya, cahaya dari mana pula?"
Liyana kemudiannya minta penjelasan lanjut dari penonton misteri tu, sebelum dimaklumkan bahawa cahaya berkenaan benar-benar kelihatan dalam babak tersebut. Bagaimanapun, Liyana menegaskan dia sendiri tidak melihat sebarang cahaya ketika menonton filem berkenaan.
"Kemudian saya jawab memang tak ada. Sebab saya baru tengok tadi juga, tak ada benda itu."
Susulan kejadian itu, Liyana merancang untuk memeriksa semula babak berkenaan. Dia turut memohon bantuan penonton lain yang sudah menonton "Pemuja Syaitan" untuk meneliti babak tersebut, tetapi meminta mereka merahsiakan jalan cerita.
Perkongsian tersebut menarik perhatian ramai yang rata-ratanya berpendapat individu berkenaan mempunyai kelebihan melihat perkara yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
