Anugerah Banyak, Lagu Sendu?

Akhir-akhir ini Merak Jalanan perasan makin banyak majlis anugerah hiburan disiarkan di kaca televisyen. Ada yang sendiri tidak sedar majlis itu sedang bersiaran langsung. Tahu-tahu sudah ada pemenang dan ucapan penuh emosi daripada artis di atas pentas.
Bagi Merak Jalanan, perkembangan ini baik untuk industri hiburan tanah air. Sekurang-kurangnya ada usaha menghargai bakat dan kerja keras anak seni. Artis mendapat pentas untuk diraikan, manakala peminat dapat melihat idola masing-masing bergaya di karpet merah.
Cuma, apabila terlalu banyak majlis anugerah dianjurkan, muka yang sama muncul dari satu anugerah ke satu anugerah lain. Ia menyebabkan orang terkeliru, artis ini popular dengan lagu apa dan menang anugerah mana satu.
Kalau dibandingkan dengan zaman dahulu, majlis anugerah mungkin tidak sebanyak sekarang, tetapi persaingan menghasilkan lagu bermutu terasa lebih kuat. Setiap penyanyi ada album dan identiti tersendiri, dan lagu mereka boleh bertahan bertahun-tahun.
Hari ini kebanyakan artis lebih popular menerusi drama, program televisyen dan media sosial. Itu tidak salah, tetapi industri muzik perlu terus melahirkan karya yang meninggalkan kesan kepada pendengar.
Mungkin sudah tiba masanya penganjur menilai semula jumlah majlis anugerah yang dianjurkan. Bukan bermakna artis tidak perlu dihargai, tetapi anugerah sepatutnya seiring dengan kualiti karya supaya tidak kelihatan sekadar syok sendiri.
Merak Jalanan masih menantikan komposer hebat tanah air seperti Datuk M Nasir, Saari Amri, Manan Ngah dan Fauzi Marzuki kembali menyemarakkan industri dengan karya berjiwa besar. Mereka antara nama yang membuatkan kita menunggu lagu baharu dengan sentuhan dan identiti tersendiri.
